Tuesday, February 15, 2011

Sambutan Maulidurrasul satu bid'ah?


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Setiap kali tibanya tanggal 12 Rabiul Awal, seluruh umat Islam pasti merasakan bahawa tarikh ini amat bermakna terhadap kita semua apatah lagi terhadap agama Islam itu sendiri. teringat zaman sekolah dulu, tibanya tarikh keramat ini, pihak pentadbiran sekolah biasanya akan mengadakan perarakan maulidurrasul ( bukan demonstrasi), ceramah perdana maulidurrasul, tayangan slide, persembahan Islamik dan sebagainya. namun, saya hairan apabila melangkah ke Universiti, sambutan maulidurrasul ini tidak semeriah zaman persekolahan dulu.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa sambutan maulidurrasu adalah satu bid'ah. Bid'ah secara ringkasnya boleh ditakrifkan sebagai perkara-perkara yang tidak dulakukan oleh Rasulullah. Ramai tokoh Islam telah membahagikan bid'ah ini kepada pelbagai kategori. antaranya ialah, tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i, yang telah menyebut dalam kitab-kitab mereka istilah Bid‘ah Hasanah atau yang hampir dengannya, seperti Bid‘ah Mahmudah (بدعة محمودة), bid‘ah wajib, bid‘ah sunat dan bid‘ah harus. Antara tokoh tersebut ialah al-Imam al-Syafi’i (204H), al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam (660H), al-Imam al-Nawawi (676H) dan al-Imam al-Sayuti (911H) rahimahumullah. Akan tetapi apabila diteliti ucapan-ucapan mereka, kita dapati bid‘ah yang mereka maksudkan merujuk kepada Bid‘ah Hasanah dari sudut bahasa, bukan bid‘ah dari segi syarak.

Al-Syafi‘i berkata, “Bid‘ah itu ada dua jenis: Bid‘ah Mahmudah (dipuji) dan Bid‘ah Mazmumah (مذمومة) (dikeji). Apa yang menepati sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi sunnah maka ia dikeji.” al-Syatibi pula menyifatkan bid‘ah dari segi istilah syarak tidak sepatutnya dibahagikan kepada hasanah (baik) dan saiyyiah (buruk). Yang benar kesemuanya adalah saiyyah dan dhalalah (kesesatan).

Persoalan sama ada sambutan Maulidurasul ini bid’ah atau pun tidak sudah lama berlegar dalam masyarakat, lebih-lebih lagi apabila kita semakin mendekati tanggal 12 Rabiulawal. Kedua-dua pihak, sama ada pihak yang membid’ahkan sambutan tersebut mahu pun pihak yang cuba mempertahankan amalan tersebut, telah berusaha untuk mengemukakan hujah masing-masing, walau pun memang kita terpaksa akui, sebahagian hujah tersebut tidak dapat diterima.

Namun, sebagai manusia yang dianugerahkan akal seharusnya berfikiran secara progresif dan rasional dalam hal ini. Di Malaysia, pada kebiasaannya, sambutan maulidurrasul disambut secara besar-besaran tidak kira di peringkat kampung, institusi pendidikan, bahagian, negeri mahupun peringkat kebangsaan. pelbagai aktiviti diadakan dan antaranya ialah perarakan maulidirrasul( sambil memegang sepanduk dan bersalawat), ceramah perdana, cuti umum dan banyak lagi.

Saya percaya, rakyat Malaysia amat terbuka dalam soal ini kerana rata-rata berfikiran positif dan menerima sambutan ini. sebagai contoh, hari ulang tahun sendiri boleh disambut, kenapa hari kelahiran rasulullah tidak? tambahan pula, aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga bersifat ilmiah dan menyemarakkan lagi semangat dan ruh Islam di bumi Malaysia. maka, di mana salah dan silapnya sambutan maulidurrasul ini? anda jawab.

Tambahan lagi, banyak manfaat yang akan kita perolehi melalui sambutan maulidurrasul ini. Antaranya ialah menguatkan lagi rasa cinta kita kepada Baginda SAW, mengingatkan kita supaya sentiasa beramal akan ajaran dan sunnah Baginda, menyatupadukan umat Islam, lambang kekuatan Islam di mata masyarakat lain dan banyak lagi. maka, dalam hal ini, saya berpendapat tidak salah jika kita merayakan sambutan maulidurrasul. Dengan syarat, aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersifat ilmiah dan tidak melanggar syariat.segalanya juga sebenarnya bergantung kepada niat kita.sesungguhnya islam itu mudah. wallahua'lam. penjernihan dan pencerahan daripada sahabat sekalian juga amat dialu-alukan. terima kasih.


Penulisan : Mohd Syahrul Sopian Sulaiman

No comments: